media: Globalisasi dan Orde Baru Dunia

Assalamualaikum dan salam semalaya.

ISU: Globalisasi dan Orde Baru Dunia 


Written by Ahmad Yussuf   
Takrif
Menurut Kamus Dewan, globalisasi membawa maksud "fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat."[1].

Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet, media elektronik, dan teknologi siber. Perkembangan ini memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat."[2]

Manakala cediakawan barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan. [3]

Globalisasi juga merujuk kepada perpindahan nilai, terutamanya cara berfikir dan gaya bertindak dari satu daerah dunia kepada daerah dunia yg lain. Globalisasi yang diberi erti luas ini adalah suatu hakikat yang tidak dapat dipertikaikan. Hakikatnya globalisasi itu sudah wujud sebelum istilah globalisasi diperkenalkan lagi. Fenomena globalisasi boleh dikiaskan sebagai gelombang yang melanda dunia." [4]


Globalisasi dalam erti literal adalah sebuah perubahan sosial, berupa bertambahnya keterkaitan di antara masyarakat dan elemen-elemennya yang terjadi akibat transkulturasi dan perkembangan teknologi dalam bidang transportasi dan komunikasi yang memfasilitasi pertukaran budaya dan ekonomi internasional. Istilah globalisasi dapat diterapkan dalam pelbagai konteks sosial, budaya, ekonomi dan sebagainya. Misalnya, globalisasi dapat diertikan sebagai:
  • pembentukan desa global (global village) - yang bererti konteks yang lebih erat antara pelbagai pelosok dunia, meningkatnya interaksi personal, saling kerja sama dan persahabatan antara penduduk dunia.
  • globalisasi ekonomi - meningkatnya perdagangan bebas dan meningkatnya hubungan antara pelaku ekonomi di pelbagai negara.
Dalam banyak hal, globalisasi mempunyai banyak karakteristik yang sama dengan internasionalisasi, dan istilah ini sering dipertukarkan. Sebahagian pihak sering menggunakan istilah globalisasi yang dikaitkan dengan berkurangnya peranan negara atau batas-batas negara.[5]
Orang-orang Perancis menggunakan perkataan "Mondialisation" dalam menerangkan globalisasi. Manakala orang-orang Amerika dan Inggeris pula menggunakan perkataan Inggeris "Globalization" yang mula-mula muncul di Amerika Syarikat. Ia membawa maksud mengumumkan sesuatu dan meluaskan kawasannya agar merangkumi semua.[6]

Berdasarkan maksud tersebut, bolehlah diandaikan bahawa seruan kepada globalisasi ini jika dilaungkan oleh negara atau kumpulan tertentu, ia bererti menjadikan cara hidup negara atau kumpulan tersebut menyeluruh dan diguna pakai oleh dunia[7]. Dengan kata lain, percubaan untuk menjadikan seluruh manusia di dunia meniru cara hidup mereka dengan apa cara sekalipun.

Justeru, tidak hairanlah jika ada sesetengah pengkaji melihat globalisasi sebagai satu proses pengamerikaan dunia. Begitu jugalah ada pengkaji yang mentakrifkannya sebagai sistem kapitalis Amerika yang cuba untuk menguasai dunia. Hal ini kerana seruan kepada globalisasi ini bermula di Amerika Syarikat.

Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat:
"Adapun globalisasi, kami melihat - berdasarkan seruannya sehingga ke hari ini - ia adalah pemaksaan penguasaan politik, ekonomi, budaya dan sosial daripada Amerika Syarikat terhadap dunia, khususnya dunia timur dan dunia ketiga, bahkan secara lebih khusus, dunia Islam." [8]

Bolehlah disimpulkan di sini bahawa globalisasi merupakan salah satu daripada penjajahan baru yang lebih merbahaya dan licik daripada Amerika Syarikat untuk menguasasi dunia dalam segala aspek, sama ada ekonomi, sosial, budaya dan politik. Justeru, tidak hairanlah ada gerakan dari barat sendiri, secara khususnya di negara-negara Eropah yang menentang globalisasi[9]. Beberapa sesi tunjuk perasaan telah mereka buat di bandar-bandar besar dunia untuk mengkritik globalisasi dan mengajak penduduk dunia menentangnya.

Sejarah Globalisasi

Telah menjadi tabiat manusia, mereka berkeinginan untuk menguasai pihak yang lain. Justeru, berlakulah pelbagai pergaduhan dan peperangan dalam sejarah manusia, bermula dari zaman dahulu hinggalah ke hari ini, untuk melaksanakan keinginan tersebut. Keinginan untuk berkuasa ini bukan sahaja berbentuk peribadi, bahkan ia juga berbentuk kelompok. Dengan kata lain, keinginan tersebut dimiliki oleh sesuatu bangsa atau umat untuk menguasai bangsa dan umat yang lain.
Memandangkan manusia telah dianugerahkan oleh Allah kemampuan untuk berfikir, maka pertelingkahan dan peperangan yang berlaku untuk memuaskan keinginan tersebut berlaku dalam pelbagai bentuk. Kalau dahulu mereka berperang dengan hanya menggunakan senjata kuno seperti pisau, pedang dan lembing, namun kini mereka menggunakan peralatan yang lebih canggih seperti senapang, bom dan sebagainya.
Dalam menerangkan perkara ini, seorang pengkaji berkata:
"Peperangan dan bentuk-bentuknya semakin maju dengan majunya akal manusia. Persenjataan juga semakin maju bermula dengan penggunaan besi dan api hingga berakhir dengan senjata nuklear di penghujung perang dunia yang disaksikan oleh umat manusia pada tahun 1945 yang menandakan munculnya kuasa baru dunia iaitu Amerika Syarikat"[10]

Memandangkan peperangan sedemikian rupa memerlukan kepada modal yang tinggi dan meninggalkan kesan yang sangat negatif dari apsek harta dan moral, maka manusia berfikir cara baru dalam mencari kekuasaan. Berkaitan perkara ini, berkata Dr. Mustafa Abdul Ghani:
"Sebelum sempat Kuasa Perikatan bersedia untuk keluar daripada Perang Dunia Kedua dengan kemenangan, Amerika Syarikat telah cuba memperkukuhkan peranan imperialisnya yang baru. Kita tahu bahawa Persidangan Bretton Woods yang berlangsung pada 1/7/1944 hingga 22/7/1944 adalah dianjurkan oleh Amerika. Dalam persidangan tersebut bermulalah kisah pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang digunakan oleh Amerika Syarikat untuk memperkuat cengkamannya terhadap negara-negara yang lain. Dalam persidangan itu juga, dua perjanjian telah berjaya dibentuk iaitu tabung wang dan bank dunia. Selepas itu[11], Perjanjian Am Mengenai Taarif Dan Perdagangan telah dibuat. Secara zahir pada awalnya, ia hanyalah sebagai badan sementara berkaitan perdagangan."[12]

Justeru, di sinilah bermulanya sejarah globalisasi yang ada pada hari ini. Pertubuhan-pertubuhan dunia yang ditubuhkan tersebut akhirnya digunakan oleh kuasa-kuasa besar, secara khususnya Amerika Syarikat, untuk menguasai dunia keseluruhannya. Pengusaan Amerika ini semakin kukuh apabila GATT bertukar kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Ia tidak lain tidak bukan hanyalah dibuat untuk menjaga kepentingan negara perindustrian maju, khasnya Amerika Syarikat[13].

Begitu jugalah, globalisasi sebenarnya adalah sistem kapitalisme lama yang berwajah baru. Sejarah membuktikan, pada kurun ke 19, negara-negara kapitalis menunjukkan belangnya dengan menjajah negara-negara lain dan mengaut sebanyak mungkin hasil buminya, tanpa mengambil kira dimensi sosial ketika mereka menjajah. Dengan kata lain, mereka menzalimi rakyat negara yang mereka jajahi. Sebagai tindak balas daripada gejala ini, sistem sosialisme – yang lebih mengambil kira dimensi sosial - diterima oleh golongan yang dizalimi ini.

Kesannya, berlakukan sistem dua kuasa dunia atau dua kutub. Kutub pertama diwakili oleh Amerika Syarikat yang merupakan negara kapitalisme dan kedua diwakili oleh Kesatuan Soviet yang merupakan negara sosialisme. Justeru, berlakulah perang dingin di antara kedua-dua kutub tersebut sekitar kurun ke 20. Pada ketika itu, kapitalisme tidak mampu menunjukkan belangnya dan berselindung di belakang tabir dimensi sosial. Namun, apabila Kesatuan Soviet runtuh sekitar tahun 90an, mereka tidak segan silu untuk menunjukkan wajah lamanya yang sebenar. Apa yang berlaku di Afghanistan dan Iraq membuktikan perkara ini. Inilah yang disebut sebagai globalisasi[14].

Kesan Negatif dan Positif Globalisasi
Sungguhpun globalisasi adalah satu sistem barat yang tidak Islam, ia perlu dikaji dan disaring aspek-aspek negatif dan positifnya. Adalah tidak bijak untuk mengumumkan hukuman kepada apa jua perkara baru, sama ada ia baik atau buruk, tanpa dikaji terlebih dahulu dengan teliti. Imam Ghazali ketika berhadapan dengan cabaran falsafah Yunani di zamannya, tidak terlalu cepat mengeluarkan hukuman kepada falsafah tersebut. Bahkan, beliau mengkaji baik buruknya perkara tersebut sehingga mampu mengeluarkan perkara positif daripada banyak perkara negatif yang terdapat dalam falsafah Yunani. Justeru, globalisasi juga perlu dikaji buruk dan baiknya sehingga umat Islam mampu mempergunakan aspek positif yang ada untuk menentang keburukan-keburukan globalisasi.
Kesan Negatif
Terdapat banyak kesan negatif yang timbul daripada globalisasi, antaranya:
1. Proses Pengamerikaan Dunia[15]
Ia merupakan proses untuk menjadikan budaya Amerika diikut oleh semua penduduk dunia. Proses ini akhirnya akan merosakkan budaya-budaya lain selain budaya Amerika. Perkara ini tidak menjadi negatif sekiranya budaya Amerika adalah budaya yang baik, bertepatan dengan fitrah kejadian manusia dan agama Islam. Namun sebaliknya, budaya Amerika merupakan budaya yang kebanyakannya bertentangan dengan akhlak dan ajaran Islam. Budaya gay dan seks bebas merupakan contoh yang jelas.

Mereka menggunakan media massa untuk menyebarkan luaskan budaya mereka. Filem-filem yang mereka buat di Hollywood, di samping dapat mendatangkan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada Amerika, ia digunakan untuk tujuan mempromosikan budaya mereka kepada dunia. Bukan itu sahaja, budaya makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken dan Mc Donald cuba diterapkan kepada penduduk dunia. Proses pengamerikaan ini akhirnya akan menjadikan sesuatu bangsa lebih berbangga untuk mengikut budaya Amerika daripada budayanya sendiri, bahkan sampai ke tahap memandang rendah kepada budaya ibundanya sendiri.

2. Kemiskinan dan Penindasan
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi "Sesungguhnya globalisasi seperti yang dilihat hari ini, hanyalah untuk kebaikan golongan yang kuat terhadap yang lemah, untuk keuntungan yang kaya terhadap golongan miskin dan untuk manfaat blok utara yang kaya tehadap blok selatan yang miskin"[16]. Kenyataan tersebut jelas menunjukkan kesan negatif globalisasi. Dalam sistem globalisasi, negara yang kaya akan bertambah kaya, manakala yang miskin akan terus miskin.
Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Bank Dunia berperanan dalam mewujudkan jurang yang besar di antara negara blok utara dan blok selatan. Negara-negara dunia ketiga yang berada di blok selatan, ketika berhutang dengan Bank Dunia, akan dikenakan faedah dan syarat-syarat tertentu yang rata-ratanya akan mendatangkan kesan negatif kepada peminjam.
Begitu jugalah, dengan wujudnya WTO, kemiskinan dan penindasan akan berterusan. Hal ini kerana WTO membentuk satu persaingan bebas dalam perdagangan[17]. Sudah pasti, negara blok selatan yang masih merangkak tidak mampu mengejar, apatah lagi menyaingi negara-negara maju di blok utara. Justeru, inilah "penjajahan lama yang berwajah dan bernama baru"[18].

Kesan Positif

Di samping kesan-kesan negatif, Globalisasi juga mempunyai kesan positif. Antaranya ialah teknologi maklumat. Dengan wujudnya teknologi ini, manusia dapat berhubung dengan mudah dan pantas. Dunia dirasakan seolah-olah satu kampung. Perkara yang berlaku beribu batu daripada diketahui dalam masa yang sangat singkat dan dengan cara yang sangat mudah. Justeru, ini semua boleh diguna pakai oleh semua penduduk dunia untuk memudahkan urusan mereka. Bahkan lebih daripada itu, ia boleh digunakan oleh umat Islam untuk menyampaikan dakwah dengan lebih mantap di era yang penuh cabaran ini.

Teknologi Maklumat

Mengikut satu definisi, secara ringkasnya teknologi maklumat boleh dianggap sebagai "cara baru penyimpan, memproses dan menyalurkan maklumat yang dihasilkan oleh pembangunan yang pantas dalam bidang elektronik, pengkomputeran dan telekomunikasi"[19].

Satu lagi definisi teknologi maklumat yang lebih luas pengertiannya ialah:
"...teknologi maklumat bermaksud pengumpulan, penyimpanan, pemprosesan, penyebaran dan penggunaan maklumat. Ia tidak terkongkong kepada perkakasan atau perisian, tetapi mengiktiraf kepentingan manusia serta matlamat yang diletakkannya bagi teknologi tersebut, nilai-nilai yang digunakan untuk membuat pilihan, penilaian kriteria yang digunakan untuk memutuskan sama ada ia yang mengawal teknologi itu dan diperkayakan olehnya."[20]

Di dalam Ensiklopedia bebas, teknologi maklumat ditakrifkan sebagai:
"teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ia merupakan satu tajuk yang sangat luas berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepatnya menggunakan komputer digital dan perisian komputer untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu."[21]
Berdasarkan takrifan-takrifan tersebut dapatlah difahami bahawa teknologi maklumat bukanlah perkara yang terlalu baru. Ia telah wujud dengan wujudnya komputer. Bahkan sebelum kewujudan komputer sekalipun ia boleh dikatakan telah wujud juga.
CABARAN GLOBALISASI: KESANNYA KEPADA REMAJA
DUNIA kini semakin rumit dan berserabut. Jika ada dua perkataan yang dapat menggambarkan situasi yang kini sedang berkembang dalam dunia dewasa ini adalah "kekeliruann dan "kepalsuan".

Apakah yang lebih mengelirukan bagi generasi pewaris jika mereka dalam suatu keadaan sedang menyaksikan kehidupan manusia yang berada di dalam kekaburan dan kesamaran untuk menentukan destinasi hidup yang sebenar? Di suatu waktu golongan muda kita diperdengarkan mengenai slogan keadilan dan kebenaran tetapi di waktu yang lain mereka menyaksikan perbuatan yang zalim dan pemalsuan di atas nama keadilan dan kebenaran itu sendiri.

Sesungguhnya kekeliruan dalam pemikiran dan tanggapan terhadap erti kesejahteraan dan kemakmuran hidup telah membawa kepada krisis yang semakin kusut dan tragedi yang amat besar kepada kemanusiaan di waktu ini. Komplot dikelirukan di atas nama kebersamaan, monopoli kekayaan di atas nama pertumbuhan ekonomi, dominasi budaya di atas nama liberalisasi, penindasan golongan lemah di atas nama demokrasi, hedonisme di atas nama kebebasan individu peminggiran di atas nama urbanisasi dan penjajahan di atas nama pasaran bebas.
Semua ini sedang dihidangkan kepada generasi pewaris. Dalam jangka masa panjang yang palsu jika diulangi dan diperkukuhkan dengan kenyataan yang tidak disanggah, akhirnya akan menjadi persepsi yang dianggap benar dan terus dilanjutkan serta kadangkala dipertahankan tanpa soal.

Kita kerap memperkatakan sesuatu yang sering tidak kita fahami tetapi akibat dari sogokan yang bertubi-tubi melalui pelbagai media ia sudahnya diterima. Di zaman ini tidak ada ungkapan dan laungan yang paling tertonjol dan didengari dan dianggap sebagai benar oleh hampir semua pemegang kuasa dan khalayak awam melainkan Globalisasi.

Ramai yang sudah hampir yakin dengan penuh taqlid bahawa fenomena globalisasi adalah suatu realiti yang perlu diakui. Sejauh mana dan ke mana arah sebenarnya globalisasi akan membawa kita hampir tidak dapat diteliti dengan waras dan saksama oleh pelbagai pemikir dan perancang.
Kita sekarang sebenarnya sedang berada di suatu zaman di mana proses penyeragaman yang amat ketara sedang berlangsung. Akibat dari apa yang dikatakan globalisasi, kita sudah hampir pasti mengatakan kepelbagaian adalah satu ketidaksempurnaan. Oleh yang demikian kita semakin akur mengatakan bahawa globalisasi adalah suatu konsep yang benar dan tepat walaupun natijahnya jelas membawa banyak kesan negatif daripada positif. Kita akan perhatikan bahawa hampir semua aspek kehidupan kita sedang menjalani proses globalisasi yang sebenarnya adalah untuk mengheret kita ke dalam suatu sistem hidup yang diseragamkan di seluruh dunia.

Tidak ada aspek kehidupan yang tidak disentuh oleh proses globalisasi. Tidak ada sektor pembangunan dan kemajuan sesebuah negara yang sepi dari sentuhan glabalisasi. Namun begitu kita tidak pula nampaknya mengambil sikap yang kritikal terhadap proses ini.

Dalam keghairahan untuk diglobalkan, kita semakin terputus dari budaya dan akar sejarah kita sendiri. Suatu tanggapan yang tidak disedari sedang menjadi asas pemikiran kita masa kini ialah semua sejarah bangsa mahupun negara tidak lagi bermakna melainkan proses globalisasi adalah satu-satunya fenomena yang harus membentuk seluruh tamadun hidup semasa.

Murni
Itulah hakikat globalisasi sebenarnya di mana ia adalah suatu proses penyeragaman dan penyamarataan "semua untuk satu dan satu untuk semua". Globalisasi dilihat sebagai suatu faham bahawa di dalam kehidupan ini tidak wajar lagi diiktiraf tanggapan nilai murni dan mulia secara objektif. Akibat dari "nilai-nilai global" yang dibentuk serta didalangi dan didukungi oleh faham dan pandangan hidup barat, maka kehidupan yang dilandaskan oleh nilai-nilai mutlak berdasarkan pegangan agama tidak lagi dapat diterima.

Apa yang disogokkan melalui globalisasi ialah segalagalanya perlu disamaratakan. Dengan lain perkataan ia bermakna seluruh pandangan hidup dan nilai hidup hendaklah diseragamkan tidak kira dari mana asas nilainya yang dibentuk. Ini diterjemahkan dalam pelbagai dimensi hidup dari sekecil-kecil perilaku seperti berpakaian sehinggalah ke sebesar-besar agenda di peringkat perhubungan antarabangsa.

Lantaran globalisasi mempunyai Jentera penjananya sendiri iaitu badan-badan konglomerat dunia yang sekali lagi berpaksi dan berpusat di barat maka kepentingan globalisasi pada hakikatnya tidak lain daripada kepentingan barat jua. Globalisasi pada hakikatnya tidak lebih daripada maksud dominasi. Laungan keadilan dan kesaksamaan universal yang cuba dikaitkan dengan proses globalisasi hanya merupakan suatu pemalsuan dan penyembunyian hakikat sebenar.

Kita sering tenggelam dan lemas dalam kejahilan yang amat ketara. Hampir jelas globalisasi sebagai suatu istilah baru kepada gerakan yang lama tidak lagi dapat difahami apatah lagi dianalisa dengan kritikal.
Semakin ramai penganalisis dunia kini telah memperakui globalisasi sebagai satu kenyataan yang diterima dan perlu dijadikan premis yang benar dan tidak boleh dipersoalkan lagi. Keghairahan pemikir-pemikir dan ahli-ahli akademik untuk menerima globalisasi kini diperkukuhkan oleh badan-badan antarabangsa di atas pelbagai nama yang amat mengkagumkan. Tanpa segan silu lagi mereka mengatakan bahawa fenomena wujudnya "rakyat global" adalah suatu bentuk idealisme yang perlu diterima oleh semua negara.

Demikianlah mendalamnya pemikiran globalisasi yang dijiwai oleh perancang-perancang pembangunan di seluruh dunia sehingga tidak wujud lagi rasa curiga terhadap kesan prosesnya yang dijana dan dicanangkan oleh kuasa-kuasa barat.

Tidaklah menghairankan kalau penganut-penganut globalisme ini akhirnya akan mengatakan, kedaulatan sesebuah negara bangsa tidak perlu diwujudkan lagi kerana mereka terus beranggapan bahawa apa yang dipanggil "dunia tanpa sempadan" adalah kemuncak kemajuan. Dengan demikian mereka berasa puas untuk menjadi alat dan hamba kepada pelbagai institusi global yang mengeksploitasi seluruh kepakaran dan keahlian mereka bagi membuka dan merungkai segala halangan yang menyebabkan sesebuah negara tidak memperakui globalisasi sebagai satu kemestian.

Kita menjadi semakin terhimpit apabila negara dankebanyakan pemimpin sudah membuat komitmen untuk menyertai proses globalisasi ini. Apakah makna, ke arah manakah tujuan dan apakah implikasinya, tidak menjadi persoalan penting. Apa yang diutamakan adalah semua pihak perlu menyertai dan menyesuaikan diri untuk menjadi lebih global.
Jika benarlah global itu bermakna lebih menyeluruh dan mengambilkira semua aspek dan kepentingan setiap warga dunia, kenapakah realiti globalisasi yang sedang berjalan kini tidak menunjukkan tanda tersebut melainkan semakin ketara fenomena dunia yang bersifat unipolar sedang dikuasai oleh hanya satu blok kuasa iaitu blok barat sahaja. Yang semakin jelas ialah bukan konsep menyeluruh itu yang sebenarnya ditekankan tetapi sebaliknya konsep "semua untuk satu" jualah yang kini menjadi agenda barat.
Apabila kita ingin menyinggung persoalan cabaran dan kesan globalisasi ke atas golongan remaja, sebenarnya kita sudah agak lewat untuk membuat suatu penilaian kritikal bagi mempersiapkan golongan tersebut menghadapi fenomena ini. Malah kesan globalisasi sudah terlalu awal lagi berada dalam kawalan kuasa besar dalam pelbagai bentuk seperti badan ekonomi, badan korporat dan konglomerat teknologi.

Cabaran
Satu-satunya cabaran globalisasi yang perlu diperbahaskan di agenda paling atas adalah cabaran ke atas aspek sosial budaya. Cabaran ini adalah suatu persoalan yang sangat kritikal kerana sesudah terlerainya benteng sosio budaya sesuatu kelompok masyarakat belia dapat disempurnakan maka segala usaha untuk menerobos bidang — bidang yang lain akan menjadi lebih mudah.
Golongan muda sebahagian besarnya sudah terheret di dalam proses globalisasi sosio budaya. Melalui pelbagai saluran, golongan belia akan menjadi dan terus menjadi sasaran utama globalisasi yang didalangi oleh syarikat-syarikat multinasional dan transnasional. Sesungguhnya tidaklah mengejutkan apabila sistem sosio budaya masyarakat muda kini sudah dirungkai sehingga segala nilai tradisi kita kini sedang melalui proses penghakisan yang amat ketara.

Adalah terlalu ketara untuk menafikan mengenai wujudnya keadaan di mana anak-anak muda semakin menunjukkan tanda tercabut dari akar budaya, bangsa dan agamanya sendiri. Dalam keghairahan untuk mengejari gaya hidup global yang ditandai oleh pelbagai ciri kehidupan barat, anak-anak muda kita secara umumnya kini sudah tidak merasa bersalah untuk meniru secara bulat budaya hidup barat. Kita dapat saksikan globalisasi budaya ini dalam pelbagai bentuk kehidupan golongan belia.

Pengamatan yang jelas dapat membuktikan fenomena di atas boleh disaksikan dengan insiden-insiden dan trend berikut:

·         Pakaian jenama barat.
·         Makanan segera keluaran barat.
·         Minuman global yang ditaja oleh barat.
·         Hiburan yang menonjolkan budaya barat.
·         Media barat yang semakin membanjiri masyarakat muda.
·         Rekreasi yang meniru ala barat.
·         Dunia lakonan dan pembikinan filem cara barat
·         Majlis-majlis sosial yang menonjolkan acara-acara ala barat.
·         Produk rokok yang menajakan budaya hidup barat.

Demikianlah antara fenomena globalisasi yang kini sedang mencabar seluruh jati diri golongan muda. Dari globalisasi kepada dominasi, golongan muda semakin terdedah kepada kehidupan dan nilai keperibadian yang terputus dan terpisah jauh dari budaya hidup timur.

Kita tidak mempunyai pilihan melainkan untuk meneliti secara kritikal dari implikasi globalisasi yang semakin rancak dan tidak terkawal. Golongan muda seharusnya berani untuk menyanggah arus globalisasi bagi memastikan jati diri kita yang sebenar tidak akan digadai. Hanya golongan muda yang mempunyai keberanian dan keyakinan diri bahawa sementara kita ingin berinteraksi dengan dunia luar kita tetap akan terus yakin dan tegas dalam mempertahankan kejatian diri kita. Tanpa kesedaran ini globalisasi akan menenggelam dan melemaskan golongan muda dengan nilai dan pegangan hidup yang sangat mengelirukan dan palsu. 

UTUSAN PENGGUNA, NOVEMBER 1997, M/S 23


sekadar berkongsi maklumat.maklumat ini sebayu petik semasa berada di Universiti Malaya. mohon jasa baik untuk diletakkan dalam peikan blog sebayu.

1 comment:

  1. terima kasih dgn perkongsian di blog anda. Bagi sy, penerangan dan penulisan anda amat baik kerana dapat memberi gambaran yang jelas dengan apa yang ingin disampaikan. Sememangnya globalisasi merupakan suatu proses dan sehingga kini berlaku secara berterusan dari masa ke masa sehingga dunia kini menjadi seperti flat world umpama padang yang amat luas tanpa sempadan.

    ReplyDelete