MEDIA NOTE: Struktur Pasaran Industri Budaya Yang Harus Mengambil Kira Eksport Media Produk Budaya Peringkat Global.

 Assalamulaikum dan salam semalaya
Artikel kali ini,sebayu mahu berkongsi bersama anda mengenai struktur pasaran industri budaya yang harus mengambil kira eksport media produk budaya peringkat global.
Tajuk: Struktur Pasaran Industri Budaya Yang Harus Mengambil Kira Eksport Media Produk Budaya Peringkat Global.

PENGENALAN
            Globalisasi berasal daripada perkataan ‘global’ yang bermaksud seluruh atau menyeluruh. Perkataan ini kemudiannya diperluaskan lagi dengan pelbagai pendefinisian mengikut bidang seperti globalisasi politik, globalisasi ekonomi ataupun globalisasi sosial bersesuaian dengan aspek yang ingin diperkatakan. Walau bagaimanapun, secara umumnya, globalisasi bermaksud meningkatnya keterkaitan antara orang - orang dan tempat-tempat tertentu akibat daripada kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat yang menghasilkan pencantuman politik, ekonomi dan sosial. Secara lazimnya juga, globalisasi turut dikenali sebagai suatu integrasi dunia dalam bidang ekonomi, budaya, sistem sosial, politik, agama dan ekonomi.
Selain itu, globalisasi juga boleh didefinisikan sebagai perhubungan tanpa sempadan yang bermakna bahawa globalisasi mengakibatkan sempadan komunikasi dan jaringan perhubungan antara manusia di sesebuah negara dengan sebuah negara lain dapat diperkecilkan kesan daripada arus globalisasi yang tidak mengenal batas ruang dan waktu. Hal ini juga mengakibatkan berlakunya aliran masuk pelbagai informasi dan produk budaya ke sesebuah negara tanpa banyak halangan mahupun sekatan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, globalisasi bermaksud ‘‘fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan oleh kepantasan perkembangan teknologi maklumat’’. Globalisasi juga merupakan satu proses untuk meletakkan dunia di bawah satu payung yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Hal ini bermakna melalui proses globalisasi, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan ruang udara dan langit serta manusia mudah mendapatkan pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet, media elektronik dan teknologi siber. Seterusnya, perkembangan ini akan memudahkan perhubungan antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat.
Menerusi era dunia tanpa sempadan ini, industri budaya turut berkembang seiring dengan arus globalisasi di seluruh dunia melalui saluran - saluran media sama ada media cetak, media elektronik mahupun media baru dan media baharu (new – new media). Melalui globalisasi ini juga, struktur pasaran industri budaya melalui pengeksportan produk budaya di peringkat global turut berkembang luas hasil daripada interaksi yang berlaku dalam pasaran semasa. Hal ini dapat dilihat menerusi aliran produk media di seluruh dunia melalui pengeksportan pelbagai jenis filem, drama, muzik, iklan, buku, makanan dan pakaian. 


Dari segi definisi, industri budaya merujuk kepada institusi atau syarikat yang ditubuhkan untuk menjana keuntungan dan organisasi kerajaan atau badan bukan kerajaan yang tidak bermatlamatkan keuntungan tetapi terlibat secara langsung dalam urusan pengeluaran makna sosial. Dalam hal ini juga, industri budaya merupakan industri yang menggabungkan pengkaryaan, pengeluaran dan pengkomersialan kandungan kebudayaan yang lazimnya dilindungi hak cipta sama ada dalam bentuk barangan mahupun perkhidmatan.
Namun begitu, secara umum, industri budaya boleh dilihat sebagai industri kreatif, industri berorientasi masa hadapan dan industri kandungan termasuklah medium percetakan, penerbitan dan multimedia, audio-visual, produksi sinematografi serta seni pertukangan dan reka bentuk. Di sesetengah negara pula, konsep ini meliputi seni reka, seni persembahan, sukan, pengeluaran alat muzik, periklanan, pelancongan dan kebudayaan.
Dalam hal ini juga, industri budaya terdiri daripada perusahaan yang membekalkan produk pendidikan, saintifik, maklumat budaya dan hiburan kepada masyarakat. Kesemua item itu direka dan diperkembangkan untuk proses pengeluaran semula (re-production) dalam bentuk yang sama dan juga dalam jumlah yang banyak. Dalam konteks ini, industri budaya bertujuan untuk mengkonsepkan, menyelaras, menghasilkan, mempromosi dan memperdagangkan barangan budaya melalui pelbagai format termasuklah buku, majalah, akhbar, jurnal, filem dan audio-visual seperti rakaman bunyi, video, perisian dan CD - ROM.
Walau bagaimanapun, kebanyakan definisi industri budaya tidak akan lari daripada mengatakan tentang pengeksportan dan pengimportan produk media melalui saluran televisyen sama ada televisyen bumi, kabel mahupun satelit, radio, filem, akhbar, penerbitan buku dan majalah, syarikat pengeluar muzik, industri penerbitan, periklanan dan seni persembahan seperti tarian ataupun teater.
Sejak tahun 1990-an, struktur industri budaya di seluruh dunia mengalami penstrukturan semula secara besar-besaran seiring dengan perkembangan teknologi digital baru. Industri budaya juga telah mengalami proses pengantarabangsaan, penataan kembali dan konsentrasi progresif sehingga menyebabkan munculnya beberapa konglomerat besar yang memonopoli pasaran media global. Hal ini turut diperkatakan oleh Herbert Schiller yang memperkenalkan Teori Imperialisme Budaya dalam bukunya yang berjudul “Communication and Cultural Domination”(1976). Dalam buku ini, beliau menjelaskan bahawa imperialisme budaya adalah cara syarikat gergasi multinasional atau syarikat konglomerat di negara - negara maju terutamanya negara Barat dan media dalam mendominasi negara-negara di seluruh dunia. Menurut teori ini juga, masyarakat di seluruh dunia telah dibawa masuk ke dalam sistem dunia moden apabila lapisan dominasi yang diwakili oleh negara maju terutamanya Barat telah melakukan satu bentuk penjajahan baru ke atas negara membangun. Dalam hal ini, negara Barat akan melakukan satu bentuk penjajahan baru dengan cara memaksa atau menekan dan adakalanya merasuah negara membangun sehingga terbentuknya satu institusi sosial dalam menyesuaikan atau mempromosi budaya yang disebarkan oleh pihak dominasi dalam sistem ini.
Dalam konteks ini, negara Barat yang bertindak sebagai sender akan menyebarkan ideologi, fahaman, budaya dan pemikiran mereka secara sehala kepada receiver yang terdiri daripada negara membangun atau negara dunia ketiga melalui pengeksportan produk - produk media dan budaya yang dihasilkan sendiri oleh mereka. Negara Barat mampu memonopoli industri budaya melalui pengeksportan produk budaya mereka ke peringkat global disebabkan mereka mempunyai wang dan teknologi tinggi yang tidak dipunyai oleh negara membangun ataupun negara dunia ketiga. Hal ini dapat dilihat apabila majoriti produk media dan budaya yang dipasarkan di peringkat global seperti filem, hiburan, berita dan komik adalah hasil dari negara Barat. Hal ini berbeza dengan negara dunia ketiga yang hanya membeli produk media tersebut kerana kosnya yang lebih rendah berbanding apabila mereka menghasilkan sendiri produk tersebut. Kesannya, masyarakat dunia ketiga telah didedahkan kepada nilai, cara hidup dan budaya masyarakat Barat sehingga mempengaruhi nilai - nilai asal atau jati diri yang dipegang oleh penduduk di negara dunia ketiga selama ini.
Justeru itu, dalam hal ini, struktur pasaran industri budaya dari segi pengeksportan produk budaya di peringkat global dilihat tidak seimbang kerana hanya berbentuk sehala dan dimonopoli oleh kuasa - kuasa tertentu selain kurangnya penghasilan produk budaya daripada negara membangun dan negara dunia ketiga. Hal ini berlaku disebabkan oleh kekangan sumber kewangan dan teknologi oleh negara membangun dan negara dunia ketiga berbanding dengan negara - negara maju terutamanya negara - negara Barat yang mempunyai kelengkapan dan kepakaran dalam menghasilkan produk budaya yang berkualiti tinggi sehingga mereka dilihat mampu melakukan penjajahan bentuk baru melalui kekuatan struktur pasaran industri budaya mereka dalam mengeksport produk budaya di peringkat global.
Dalam melihat struktur industri budaya yang harus mengambil kira eksport produk budaya peringkat global, kita perlu melihat kepada beberapa aspek yang perlu dibincangkan dan diketengahkan dalam mengetahui dan memahami kesan dan implikasi globalisasi dalam mengambil kira struktur budaya dalam eksport budaya pada peringkat global. Dalam membincangkan kesan yang di bawa oleh produk budaya kita harus meneliti aspek – aspek produk budaya itu sendiri yang merangkumi filem dan drama televisyen, muzik, penerbitan dan pencetakan dan periklanan. Bagi mengukuhkan perbincangan ini, elemen atau aspek teori mengikut pandangan sarjana – sarjana komunikasi juga telah disentuh bagi memantapkan dan memberi panduan dalam perbincangan ini.

1)    Teori dan Produk Budaya
Pengenalan
Teori bermaksud kenyataan yang mengandungi konsep - konsep dan perkaitan diantaranya yang membolehkan seseorang itu memahami, menjelaskan, menerangkan, menilai, membuat ramalan, dan membuat kawalan terhadap fenomena (Cragan & Shields, 1998). Kebanyakan para sarjana ini membentuk teori untuk menyelesaikan atau mencari jawapan kepada ‘teka - teki’ yang sering menjadi persoalan kerana kita semua dikatakan gemar bermain ‘teka - teki’.Oleh hal yang demikian konsep teori memberi penjelasan terhadap fenomena yang menjadi ‘teka - teki’ atau persoalan dalam kehidupan mahupun dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan perkara.
            Teori adalah peta tentang kebenaran dan teori adalah jawapan sementara yang dibentuk bagi persoalan yang timbul tentang sesuatu fenomena (Griffin, 1997). Teori adalah kenyataan atau penerangan yang kita bentuk untuk cuba menerangkan tentang sesuatu fenomena. Ia bersifat sementara, kita juga boleh membuat ujian atau kajian secara sistematik untuk menentukan sama ada penerangan atau kenyataan itu boleh dibuktikan kebenaran ataupun sebaliknya. Kita boleh menerima, menolak ataupun mengubahsuai teori berdasarkan kajian yang kita jalankan. Tanpa kita sedari, kita sebenarnya banyak menggunakan teori dengan perkara - perkara yang kita hadapi dalam kehidupan kita. Kefahaman tentang teori dalam membantu kita dalam kehidupan seharian.
            Kepentingan teori dalam kehidupan seharian dijadikan sebagai panduan dalam membuat keputusan sebelum mengambil tindakan yang seterusnya. Selain itu teori dapat membolehkan kita agar mengenal pasti pola kejadian di sekeliling kita supaya dapat membuat jangkaan terhadap sesuatu fenomena penting dalam kehidupan kita. Teori juga dapat membantu dalam membuat keputusan tentang kepentingan sesuatu perkara dan membuat ramalan tentangnya disamping dapat membantu kita agar menjadi lebih cekap dan berupaya menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah - ubah dengan situasi atau keadaan sekeliling kita. Teori juga dapat membolehkan kita supaya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan yang kompleks serta dapat membantu dalam kehidupan seharian untuk menempuhi liku - liku perjalanan kehidupan yang mencabar seiring dengan peredaran zaman. Teori juga dapat membuat kita untuk mentafsir kejadian secara lebih anjal (fleksibel), lebih berfaedah dan dapat membezakan baik buruk sesuatu perkara. Selain itu, teori juga dapat membantu kita untuk melihat sesuatu perkara yang tidak pernah kita lihat secara jelas walaupun perkara itu berlaku di hadapan mata namun dengan adanya teori kita dapat melihat perkara yang sama dengan kaca mata baru iaitu dengan bantuan teori dan teori dapat meluaskan tanggapan dalam mengatasi sesuatu yang menjadi kebiasaan seterusnya membolehkan kita menjadi semakin anjal dan mudah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang sentiasa berubah .

  1. Model dan Teori Komunikasi antara Budaya
            Budaya bermaksud gaya atau cara hidup, sesuatu yang merupakan kebiasaan dalam sesuatu masyarakat. Budaya juga merupakan symbol, makna, andaian, dan peraturan yang dibentuk dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Budaya merupakan indentiti sesuatu masyarakat yang perlu diketahui agar komunikasi dapat berlaku dengan berkesan dan mesej dapat disampaikan. Ada beberapa aspek atau dimensi yang membezakan antara budaya iaitu “Agihan Kuasa” yang melihat dari sudut penerimaan agihan kuasa yang sama rata oleh orang yang kurang berkesan, kajian menunjukkan penerimaan di kalangan mereka dari budaya Timur adalah sederhana manakala penerimaan Barat adalah rendah. Melalui aspek pandangan terhadap gender pula melihat dari segi konsep peranan mengikut gender dan dalam kalangan orang Barat nilai terhadap kejayaan dan wang kaum lelaki adalah di pandang tinggi, manakala dalam kalangan orang timur pula di pandang sangat tinggi. Dalam aspek mengelak “ketidakpastian” pula, setakat mana masyarakat dalam budaya tertentu merasa tergugat dengan perkara yang masih kabur dan tidak jelas serta cuba mengelak ketidakpastian itu. Ini bermaksud masyarakat Barat tidak dapat menerima ketidakpastian tersebut, namun berlainan pula dengan orang Timur yang dapat bertahan dengan sebarang ketidakpastian. Aspek Individualisme pula membawa pengertian akan sejauh mana budaya mementingkan diri ataupun kumpulan, adakah keluarga lebih penting daripada kumpulan, melihat dari sudut pandangan masyarakat barat mereka lebih mementingkan diri sendiri, manakala masyarakat Timur lebih mengutamakan kumpulan dari diri sendiri.
            Berdasarkan dimensi budaya di atas, maka budaya dapat dibahagiakan kepada budaya konteks tinggi (high - context culture) dan budaya konteks rendah (low - context culture). Budaya konteks tinggi merupakan budaya di mana kebanyakkan maklumat terletak pada konteks fizikal atau dalam diri individu dan sedikit sahaja dalam kod yang jelas hanya sebahagian daripada mesej. Budaya konteks tinggi berupaya mentafsir maksud bukan hanya berasaskan verbal tetapi memahami mesej bukan verbal juga, perkara ini perlu di lakukan secara bijak atau berhati - hati supaya tidak menyinggung perasaan orang lain. Oleh kerana kita lebih cenderung untuk berinteraksi dengan orang dari luar negara dan sudah semestinya berbeza budaya, oleh sebab itu, ada kalanya kita terpaksa bekerjasama dengan golongan ini dan amatlah penting untuk kita memahami budaya mereka terutamanya dalam industri media yang sangat luas penggunaannya serta sangat memainkan peranan penting dalam aspek budaya pada peringkat global.

  1. Teori Norma - Norma Budaya
            Teori ini menyatakan komunikasi massa mempunyai kesan secara tidak langsung ke atas tingkah laku dan berupaya dalam membentuk norma - norma. Melvin DeFleur menyatakan bahawa teori ini menerima sebagai dalil iaitu media massa, melalui pemilihan persembahan dan penekanan terhadap tema - tema tertentu serta membentuk pandangan di kalangan penonton mereka bahawa norma - norma budaya biasanya berkaitan tentang penekanan topik - topik yang distrukturkan atau didefinisikan dalam cara tertentu. Oleh kerana tingkah laku individu selalunya diawasi oleh norma - norma budaya (pandangan seorang pelakon terhadap apa itu norma - norma) berdasarkan kepada sebuah topik atau situasi yang diberi, media itu kemudiannya akan berkhidmat secara tidak langsung untuk mempengaruhi tingkah laku.
            Namun begitu fungsi industri media tidak jauh lari daripada fungsi industri lain. Melihat dari aspek ekonomi media adalah berkaitan dengan bagaimana pengendali media memenuhi permintaan dan keperluan maklumat dan hiburan khalayak, pengiklan dan masyarakat dengan sumber yang ada. Industri media adalah berlainan sedikit dengan industri yang lain. Pertama, industri media tidak semestinya didorong oleh motif keuntungan semata - mata. Ada juga organisasi dalam industri media yang bermotifkan perkhidmatan kepada masyarakat. Kedua, industri media tidak bergerak atas landasan teori asas ekonomi dimana penggunaan sesuatu sumber yang berlebihan akan mengurangkan penawaran sumber berkenaan serta menaikkan kos output kepada sumber - sumber tertentu. Dalam industri media, sumber dan kos produksi sesuatu isi kandungan media adalah tetap tanpa mengira berapa bilangan khalayaknya. Seberapa banyak kali atau kekerapan sesuatu filem, lagu, drama atau berita itu digunakan oleh khalayak, sumbernya tidak akan kehabisan. Misalnya industri yang berasaskan bijih timah sudah berkurangan di negara ini kerana sumber bijih timah sudah kehabisan. Walau bagaimanapun, ‘filem P. Ramlee’ terus ditonton berkali - kali oleh audien stesen televisyen atau pemilik cakera padat sekalipun filem tersebut diterbitkan dalam tahun - tahun 1960 -an. Tayangan filem Allahyarham P. Ramlee yang ditayangkan secara berulang - ulang kali tidak akan melibatkan pertambahan kos sebaliknya membawa keuntungan yang banyak kepada pemilik hak ciptanya.  Keunikan industri media adalah hubungan antara pengeluar dengan pembeli adalah tidak jelas. Maksudnya khalayak media tidak membayar kos produk media secara langsung kepada pengeluar atau pembekal (melainkan dalam konteks bayaran pelanggan untuk televisyen kabel atau satelit). Industri media dikatakan mempunyai pasaran dua produk Komoditi pertama yang dihasilkan media adalah isi kandungan (program television, berita akhbar, artikel majalah dan lain – lain lagi.). Industri media boleh menjual isi kandungan media yang akan ditonton, dibaca atau didengar oleh pelanggannya. Komoditi kedua produk media adalah audien yang menggunakan isi kandungan media. Khalayak adalah satu komoditi yang industri media boleh jual kepada pengiklan. Lebih besar jumlah khalayak bagi sesuatu program media maka lebih tinggilah bayaran pengiklan kepada organisasi media berkenaan.  Dengan adanya mekanisme dunia seperti World Trade Organization (WTO) yang ingin membuka pasaran global dan beberapa dasar liberal yang memecahkan monopoli dan pemilikan asing, maka sudah tentu dengan secara semulajadi kebanyakan pemilik organisasi media di negara maju ingin mengembangkan pasarannya. Disamping itu perkembangan teknologi komunikasi juga membantu industri media untuk meningkatkan lagi usaha pelaburanya di negara yang jauh daripada pengkalan ibu pejabatnya. Kebanyakan organisasi media berpendapat bahawa masih banyak peluang pasaran untuk diteroki bukan sahaja di negara sedang membangun tetapi juga di kalangan negara utama.

  1. Struktur  Pasaran Industri Budaya (Industri Media) dalam teori penyuburan.
Teori penyuburan (cultivation) merupakan teori yang amat popular pada tahun 1970 -an dan 1980 -an dalam bidang komunikasi, terutamanya media televisyen. Teori ini diasaskan oleh George Gerbner, di mana beliau menjalankan penyelidikan tentang ilmu kaedah kajian analisis penyuburan melalui Cultural Indicator Project pada lewat 1960 -an. Ia mengatakan bahawa semakin banyak menonton televisyen, penonton tersebut akan mempercayai dunia televisyen sebagai sosial yang sebenar. Teori penyuburan mempunyai dua bahagian dalam reka - bentuk penyelidikannya, iaitu analisis sistem mesej atau dikenali sebagai analisis isi kandungan, dan analisis penyuburan. Analisis sistem mesej ditumpukan dalam mengawasi program rangkaian sebagai sampel tahunan sepanjang prime - time dan waktu siang di hujung minggu. Manakala analisis penyuburan merupakan satu pendekatan yang berasaskan kepada andaian - andaian teoritikal dan kaedah penilaian tentang keberkesanan televisyen ke atas konsep persepsi penonton terhadap dunia yang benar. Penanda yang utama adalah jumlah masa penonton mendedahkan kepada televisyen memberi kesan terhadap cara memikir dan bertingkah laku. Secara umumnya terdapat dua andaian yang penting dalam teori penyuburan, Pertama  teori penyuburan adalah hasil daripada sikap tidak memilih dan pandangan yang pasif di kalangan penonton. Andaian kedua pula menyatakan bahawa kandungan yang ditampilkan dalam televisyen adalah benar. Begitu juga pembolehubah - pembolehubah yang dipilih dalam kajian - kajian mereka adalah bertumpukan kepada demografik sebagai pengasas yang dikajikan. Kaedah - kaedah dan andaian - andaian tersebut adalah berunsur umum dan menekankan keberkesanan daripada kumulatif pendedahan kepada media. Dengan demikian, teori penyuburan menyatakan bahawa imej - imej dalam televisyen telah menyuburkan dan menterjemahkan kepercayaan budaya, ideologi - ideologi dan pandangan di kalangan masyarakat. Di sini, televisyen memainkan peranan sebagai agen penggaulan , dan ia mempengaruhi dan mendidiki para penonton supaya mempercayai bahawa dunia yang ditayangkan adalah benar.
Seperti yang kita sedia maklum, kandungan atau sebarang siaran rancangan televisyen dapat di lihat atau di tonton di seluruh dunia dengan adanya teknologi sistem satelit hal ini berkaitan dengan struktur pasaran industri budaya pada sesebuah negara untuk dipertontonkan kepada seluruh masyarakat dunia atau penduduk negara lain, perkara ini sangat penting dan setiap elemen yang hendak disiarkan akan melalui proses atau prosuder tertentu sebelum sesebuah rancangan itu mendapat kelulusan iaitu ‘media guard’ yang harus di patuhi. Pada peringkat inilah budaya sesebuah negara atau etnik di eksport atau melalui satu saluran seperti bahan dagangan di peringkat global. Contohnya dalam satu siaran kenaikkan tahta seorang raja seperti di Malaysia, satu siaran dokumentari khas telah menunjukkan atur cara majlis yang penuh dengan istiadat melayu akan kenaikkan tahta seorang raja Tuanku Mizan Zainal Abidin yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan di seluruh dunia. Begitu juga istiadat pengkebumian, perkahwinan dan sebagainya lagi tentang mengeksport industi media yang mengetengahkan budaya negara di peringkat global. Perkara ini juga berlaku di negara lain seperti suku kaum orang asli di Afrika, Austaria dan sebagainya. Tahap capaian media semakin hari semakin berkembang dengan baik dan pengeksportan industry media boleh dikatakan berjaya dan semakin hari semakin banyak budaya - budaya yang dieksport.
Secara keseluruhannya, teori penyuburan telah banyak mempengaruhi dalam bidang penyelidikan komunikasi terutamanya mengenali hubungan media terhadap masyarakat. Tidak dapat dielakkan bahawa kewibawaan teori ini dari segi impak televisyen yang ditelitikan oleh Gerbner dan rakannya amat penting dalam perkembangan sejarah komunikasi. Sungguhpun begitu, rintangan tersebut tidak menjadikan halangan malah telah memandukan para saujana mengembangankan teori ke arah yang lebih luas dan membentuk pelbagai corak. Ini dapat ditelitikan dari awalnya yang hanya tumpu kepada jumlah masa menonton televisyen, dan seterusnya mengarah ke tingkahlaku penonton dan kemudian kepada aspek psikologi termasuklah motivasi dan kelibatan penonton. Selain ini kaedah penyelidikan juga berkembang daripada penggunaan pembolehubah berdasarkan demografik kepada dimensi-dimensi yang dikandungi dalam erti sebenar.

2)    Konsep Asimilasi dan Produk Budaya
Asimilasi adalah penggabungan dua budaya yang berlainan sehingga membentuk satu budaya yang baru. Asimilasi berlaku apabila terdapat satu budaya asing menerap dalam suatu budaya yang lain menyebabkan budaya asal tersebut kehilangan sebahagian daripada ciri - cirinya di samping menerima dan menyesuaikan ciri - ciri budaya lain dalamnya. Asimilasi juga boleh dikatakan sebagai proses mengurangkan perbezaan budaya antara dua kelompok yang berlainan.
            Asimilasi berlaku apabila dua atau lebih daripada dua kelompok yang memiliki budaya yang berbeza bergaul dan berinteraksi dalam satu tempoh waktu yang agak lama sehingga budaya asal berubah untuk menyesuaikan diri dengan budaya masing - masing. Dalam masyarakat Malaysia, fenomena asimilasi tidak asing kepada rakyatnya kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang berlainan.
            Kepelbagaian budaya di Malaysia telahpun terbentuk sejak dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.  Peranan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangasa telah membuka ruang kepada kemasukan para peniaga dan pedagang asing ke Tanah Melayu.  Kebanjiran masyarakat asing di Tanah Melayu terus bertambah hasil daripada tindakan penjajah yang membawa masuk imigran - imigran asing sebagai buruh, petani dan askar upahan.
            Kepelbagaian kaum ini telah mencorakkan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang istimewa, dan asimilasi budayanya membentukkan satu budaya yang unik dan tersendiri berbanding dengan masyarakat negara asing. Di bawah gelombang globalisasi, pendedahan budaya asing kepada Malaysia dan sebaliknya telah berlaku dengan kerapnya. Berkat kepesatan teknologi komunikasi dan keaktifan golongan intelektual, perkongsian budaya dan saling mempengaruhi dengan budaya masing - masing telah berlaku dan memberi impak dalam industri budaya.
            Pengaruh yang jelas boleh dilihat dalam budaya pakaian masyarakat Malaysia pada hari ini. Sebagai contoh, golongan lelaki Melayu memilih baju kemeja, seluar berjenama Barat seperti jenama Padini dan tali leher sebagai pakaian rasmi semasa pergi ke pejabat atau upacara rasmi yang lain berbanding baju Melayu, sampin dan songkok. Bagi golongan wanita pula, walaupun ada yang kekal anggun memakai baju tradisi seperti baju kurung dan kebaya untuk pergi ke pejabat dan urusan - urusan rasmi yang lain, terdapat juga segelintir yang mengenakan   jubah dan tudung yang berasal dari Timur Tengah untuk meningkatkan fesyen pakaian tradisional Melayunya. 
            Walaupun cara pemakaian masyarakat Malaysia dipengaruhi oleh budaya asing, keunikan budaya pakaian Malaysia juga kian menarik perhatian di pentas dunia. Sebagaimana yang diketahui, Malaysia bangga dengan batik tersendirinya. Keunikan corak pakaian ini telah memberikan idea kepada pereka fesyen negara asing untuk memenuhgunakan unsur yang istimewa ini atas fesyen terkini. Pendedahan budaya ini kepada negara asing telah membolehkan batik muncul di pentas pertunjukan fesyen antarabangsa, di mana corak batik boleh kelihatan atas baju kemeja lelaki, skirt wanita malah aksesori yang berkaitan.
            Dalam segi muzik pula, masyarakat Malaysia mudah menerima dan menyerap muzik negara lain. Penerimaan budaya ini berubah dari semasa ke semasa, contohnya pada tahun 80-an, masyarakat cina Malaysia cenderung mendengar lagu Taiwan. Pada 90-an pula, Canto-pop dari Hong Kong menguasai pasaran Cina di Malaysia. Melangkah ke era baru selepas tahun 2000, masyarakat Malaysia banyak menerima budaya muzik barat dan negara Asia lain, seperti Jepun, Korea dan Thailand.
            Pengaruh muzik tidak sukar dikesan dalam muzik Malaysia. Antara contohnya termasuk semakin banyak lagu yang disertai dengan rap diirama dengan muzik. Gaya rap ini berasal dari negara Amerika dan gaya ini telah mempengaruhi banyak budaya muzik di negara lain sehingga menjadi popular di merata dunia. Fenomena lain yang boleh dilihat ialah trend penyanyian semula, atau digelar ‘cover’ lagu negara lain. Misalnya, drama Korea ‘Full House’ begitu popular sekali sehingga penyanyi idola terkenal Malaysia Saiful menyanyikan semula lagu temanya dalam versi bahasa Melayu.
            Walaupun muzik Malaysia banyak menerima input dari luar negara, muzik kita juga diiktiraf oleh negara lain. Sebelum budaya Korea memasuki negara asing secara besar-besaran, lagu buatan Malaysia telah mendarat di tanah Taiwan. Penyanyi popular di Taiwan, Yuki Xu, telah mengundang kumpulan popular Malaysia, K.R.U. untuk menggubah lagu bagi albumnya pada lewat 90-an awal 2000. Lagu itu bukan sahaja disempurnakan di Malaysia, tetapi juga merupakan lagu tema bagi album tersebut. Lagu itu menerima sambutan yang hangat di Taiwan, mendedahkan pemuzik yang berbakat di Malaysia kepada negara asing.
            Pengaruh muzik Malaysia tidak berhenti di situ sahaja. Mulai 2000, terdapat ramai penggubah lagu yang berjaya menjual lagu ke pasaran cina di luar negara, termasuk negara China, Taiwan, Hong Kong, malahan Korea. Kini, banyak bakat penggubah lagu, penulis lirik dan pengarah kita yang bertapak di luar negara dan memiliki kejayaan yang dibanggakan.
            Dalam proses pertukaran budaya, filem dan drama juga memainkan peranan yang penting. Budaya Amerika banyak disalurkan melalui filemnya yang mengagumkan. Sejak dahulu lagi, masyarakat Malaysia suka menonton filem buatan Hollywood, terutama siri Disneyland dan filem aksi beranimasi. Gaya animasi ini sekarang menerap dalam pembuatan filem dalam negara lain. Filem - filem seperti ‘Spiderman’ memberi inspirasi kepada penerbit filem Malaysia untuk membikinkan ‘Cicakman’, filem yang menggabungkan dua - dua unsur Barat dan tempatan.
            Selain di tempatan, filem buatan Malaysia juga sampai ke negara lain melalui pentas antarabangsa seperti pesta - pesta antarabangsa atau majlis penyampai hadiah antarabangsa. Contohnya, filem Malaysia ‘Puteri Gunung Ledang’, ‘Hei Yan Quan’, ‘Sepet’, ‘Awan Di Tepi Langit’, ‘Hujan Matahari’ dan sebagainya mendapat sambutan hangat dan juga diiktiraf oleh anugerah bertaraf antarabangsa.
            Tidak dapat dinafikan Korea menyebarkan budayanya melalui drama. Dari ‘Winter Sonata’ sampai ‘Full House’, drama - drama ini mendapat sambutan yang hangat dari masyarakat kita, sehingga penyanyi tempatan membuat cover lagu tema drama tersebut untuk memenuhi permintaan pasaran. Akan tetapi, bakat negara kita juga mendapat manfaat dari kehangatan drama. Drama ‘Meteor Garden’ dari Taiwan mendapat banyak perhatian pada tahun 2000, dan lagu - lagunya banyak digubah oleh pemuzik Malaysia. Berkat fenomena ini, lagu gubahan Malaysia juga dibuat cover di negara Korea, sebuah negara yang amat menyokong muzik buatan negaranya sendiri.
            Dari segi makanan pula, masyarakat Malaysia banyak dipengaruhi oleh budaya barat, pengaruh ini jelas dinampak dari francais - francais restoran Barat yang terdapat di serata Malaysia. Restoran makanan segera yang popular di Malaysia termasuk McDonalds, Kentucky Fried Chicken (KFC), Pizza Hut dan sebagainya. Asimilasi budaya sangat ketara dalam makanan di mana kita boleh lihat ayam berperisa ‘Hot & Spicy’ yang direka khas untuk menyesuaikan citarasa masyarakat Malaysia. Selain daripada itu, terdapat juga ‘Burger Ramlee’ yang menjadikan makanan Barat seperti makanan tempatan dan diterima oleh masyarakat tempatan.
            Proses asimilasi budaya bukan sahaja berlaku dalam negara Malaysia ketika kita menerima budaya asing, tetapi juga mempengaruhi budaya asing dengan keunikan kita. Walaupun globalisasi mendekatkan hubungan antarabangsa dan mengurangkan perbezaan antara budaya, fenomena ini mungkin membawakan akibat sesuatu budaya itu hilang keunikannya sendiri. Walaubagaimanapun, masyarakat hari in perlu berinteraksi dengan dunia luar, mendedahkan diri kepada kepelbagaian budaya asing di samping mempertahankan keunikan budaya sendiri. Hanya dengan inilah satu dunia tanpa sempadan yang kaya dengan keunikan budaya yang berlainan boleh terbentuk.


3)    Filem Dan Drama Televisyen
Industri perfileman tentunya tidak lagi asing bagi kita. Filem dan masyarakat pada era globalisasi ini umpama lagu dan irama dan seakrab air dicincang takkan terputus.Filem merupakan “hidangan” untuk mereka iaitu khalayak dalam mendapatkan ketenangan, mengisi masa lapang, menamani rakan atau pasangan kekasih dan minat serta hobi seseorang dalam menonton filem. Setiap penghujung minggu terutamnya pada musim cuti sekolah dan cuti umum, GSC (Golden Screen Cinema) antara tempat yang paling ramai dikerumuni orang atau audien berikutan filem merupakan salah satu media hiburan paling ramai, paling diminati dan paling mendapat perhatian selain media – media lain. Filem - filem daripada Amerika, Eropah, India, Indonesia, Jepun, Korea dan pelbagai negara lain disiarkan dalam wayang (panggung) untuk kita sebagai rakyat tempatan menikmati filem tersebut tidak kiralah waktu dan masanya.
Filem The Avatar umpamanya telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan hasil kutipan filem tersebut berjaya mengalahkan hasil kutipan yang pernah tercatat daripada filem Titanic. Filem ini telah menggabungkan teknologi CGI dan 3 - dimensi (3 dimensions) yang mengetengahkan watak manusia dan hidupan – hidupan unik serta keindahan alam semester yang dicipta dan diwujudkan sendiri dalam filem terbabit. Filem Avatar juga tidak kurangnya apabila mendapat sambutan tertinggi ketika filem tersebut masih “panas” dipertontonkan dalam wayang tempatan dan luar negara. Kenyataan bahawa masyarakat Malaysia gemar menonton wayang dapat dilihat dalam statistik dan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Budaya seperti dalam jadual di bawah ini.
Kutipan & Penontonan Untuk Semua Filem Asing & Tempatan Di Pawagam (2004 -2009)


2004
2005
2006
2007
2008
2009
Penonton (juta)
16.69
25.92
27.87
33.55
43.85
44.13
Kutipan Kasar (juta)
RM 124.62
RM 217.35
RM 234.98
RM 289.31
RM 380.72
RM 403.30
Jumlah Pawagam
59
66
68
76
91
93
Jumlah Skrin
233
265
287
353
453
485
Jumlah Kerusi
55,950
61,482
66,822
78,496
92,642
101,165

Sumber : http://www.finas.gov.my/index.php?mod=industry&sub=filemmalaysia
Rajah 1: Jadual menunjukkan statistik kutipan penonton.
            Daripada data di atas, kita dapat melihat dan meneliti bahawa jumlah penonton semakin meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 2004, kita dapati purata secara keseluruhannya penonton yang menonton sama ada filem asing atau tempatan ialah 16.69 juta khalayak dan jumlah kerusi yang dapat dilihat di atas ialah sejumlah 55,950 tempat duduk (jumlah kerusi). Jumlah kerusi semakin bertambah (penonton di pawagam) iaitu pada tahun 2009, sejumlah 101,165 buah kerusi telah dijual kepada audien tempatan. Manakala jumlah penonton untuk tahun tersebut telah meningkat kepada 44.13 juta orang penonton. Jika diperhatikan dalam jadual di atas, kita dapat melihat pertambahan jumlah pawagam berlaku setiap tahun. Contohnya, pada tahun 2004 hanya mencatatkan sebanyak 56 sahaja pawagam yang dibuka ketika waktu tersebut. Tahun berikutnya menunjukkan peningkatan sebanyak 7 buah lagi pembukaan panggung wayang. Pada tahun 2009, jumlah pawagam yang berada di Malaysia ialah 93 buah panggung wayang yang menyajikan pelbagai filem sama ada filem arahan pengarah tempatan mahupun antarabangsa. Statistik secara nyata menunjukkan bahawa penduduk Malaysia kini lebih gemar untuk menonton filem di pawagam dan sekaligus membuktikan minat dan kecenderungan mereka dalam menonton wayang atau filem tersebut semakin mendapat perhatian.
Filem merupakan salah satu produk media yang tentunya mempunyai elemen budaya suatu bangsa atau negara yang memproduksikannya. Melalui sebuah filem, kita dapat mengetahui kepelbagaian bahasa, corak politik, ekonomi dan sistem sosial, pakaian tradisional, adat isitadat dan kepercayaan, gaya hidup dan budaya sesebuah masyarakat atau negara. Melaui filem juga seseorang pengarah,pelakon dan mereka yang terlibar dalam industri perfileman dapat mengilhamkan dan menunjukkan bakat dan kreativiti mereka dalam penghasilan sesebuah filem. Di Malaysia, produk filem cereka daripada tahun 2007 - 2009 telah menunjukkan peningkatan. Hal ini dikemukakan dalam statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Budaya iaitu:






Data Filem Cereka Tempatan (2007 - 2009)
FILEM TEMPATAN*
2007
2008
2009
+%
Jumlah Filem
21
25
26
4%
Kos Produksi (juta)
RM 36.42
RM 34.51
RM 40.51
4.79%
Kutipan Kasar (juta)
RM 29.60
RM 43.24
RM 50.84
15.73%
Penontonan (juta)
3.68
5.29
6.03
13.99%
Purata Kos Produksi (juta)
RM 1.73
RM 1.38
RM 1.50
8.70 %
Purata Penontonan (juta)
0.175
0.212
0.223
17.99%
Purata Harga Tiket
RM 8.04
RM 8.17
RM 8.43
1.57 %
Purata Kutipan (juta)
RM 1.41
RM 1.73
RM 1.88
22.7%

Sumber: http://www.finas.gov.my/index.php?mod=industry&sub=filemmalaysia

Rajah 2: Jadual menunjukkan statistik Filem Cereka

            Melihat kepada statistik di atas, jumlah tayangan dan penonton yang menonton filem arahan pengarah tempatan juga tidak kurang hebatnya. Jumlah filem tempatan yang dikeluarkan dalam Malaysia masih belum dapat dibanggakan berikutan penerbitan filem negara tidak sehebat dengan penerbitan atau pengeluaran filem luar negara seperti Amerika Syarikat (Hollywood), Jepun, China dan Hindustan (Bollywood). Pada tahun 2007, hanya 21 buah filem sahaja yang dapat dihasilkan pada tahun tersebut. Peningkatan pengeluaran produk media ini iaitu filem hanya berlaku dalam kuantiti yang sedikit sahaja untuk tahun berikutnya. Pada tahun 2009, hanya 26 filem sahaja yang dapat dihasilkan dan dipasarkan dalam pasaran filem negara.
Jika kita berbincang mengenai media, medium filem ini dapat memberikan banyak kesan terhadap sebuah bangsa. Produk budaya yang datang dari luar mahupun dari dalam tempatan sama - sama dapat memberikan kesan kepada masyarakat. Melalui filem, sesebuah masyarakat tersebut dapat menyebarluaskan kebudayaan dan sistem sosial masyarakatnya kepada dunia. Medium filem boleh dikatakan sebagai medium media yang terbaik dalam penyebaran budaya dan dalam masa yang sama medium filem juga merupakan racun atau pemusnah dalam menyebarkan kebudayaan “kuning” sekaligus menghancurkan kebudayaan masyarakat yang berepegang teguh kepada kebudayaan mereka selama ini.
Malaysia merupakan antara negara yang banyak menerima kemasukan produk budaya dari pelbagai negara sama ada melalui dari medium filem, buku dan juga drama televisyen. Dalam zaman yang penuh dengan pengaruh globalisasi ini, tidak hairanlah terjadinya sesuatu pergeseran atau pertembungan budaya atau perubahan budaya secara bertahap atau secara langsung mungkin bukan suatu hal yang luar biasa lagi. seperti teori komunikasi hypodermic needle, dimana media dikatakan mempunya kuasa yang kuat untuk mempengaruhi khalayaknya, media elektronik seperti  filem dan drama tv merupakan medium yang dapat memberikan kesan yang besar terhadap khlayaksama ada dalam bentuk atau kesan baik mahupun buruk.

  1. Filem, Drama TV Dan Kesannya Terhadap Budaya (aliran produk budaya)
            Dalam sebuah filem, selain pelakon yang cantik dan cerita yang menarik, terdapat juga unsur atau nilai - nilai budaya di dalamnya. Contoh yang sangat mudah adalah ketika kita menonton filem Barat atau drama televisyen Barat. Pelbagai pandangan,penerimaan, idea, kritikan dan tomahan akan kita lemparkan kepada isi kandungan filem tersebut.Hal ini berikutan filem mengandungi pelbagai maklumat, latar belakang kawasan, budaya dan sistem sosial serta kisah yang ingin ditunjukkan dalam filem tersebut.
Kemasukan dan lambakan pengaliran filem barat ke Malaysia beerti budaya baharu telah diperkenalkan dalam masyarakat tempatan. Suatu ketika dahulu, masyarakat tempatan (Malaysia) mempunyai pegangan dan adat dalam pemakaian baju dalam kehidupan seharian.Hal ini berikutan di Malaysia, agama Islam ialah agama yang diperakui secara rasmi sebagai Agama Persekutuan. Selain itu, terdapat etika berpakaian dalam dunia pekerjaan yang telah ditetapkan terutama bagai kakitangan kerajaan. Namun, impak globalisasi kini telah mengubah pegangan masyarakat dalam etika berpakaian.
 Masyarakat kini telah terikut – ikut dengan budaya Barat yang memakai pakaian yang menjolok mata dan menghairahkan. Pemandangan dan persekitaran yang menjadi faktor pemangkin kepada perubahan ini ialah melalui filem Barat. Filem – filem Barat seringkali menunjukkan etika berpakaian mereka yang kelihatan segak, cantik dan bergaya bersesuaian dengan status pekerjaan mereka. Kaum wanita di Barat gemar berpakaian yang seksi seperti memakai skirt pendek atas dari paras lutut dan terdapat belahan dibelakang mahupun di hadapan dan mereka juga berpakaian ketat sehinggakan menampakkan susuk badan mereka dan bentuk badan mereka. Bagi yang lelaki pula, masyarakat Barat gemar untuk mengenakan pakaian kot hitam bagi mereka yang bekerja di dalam suasana pejabat. Bagi mereka yang terlibat dengan pekerjaan yang menuntut pekerjaan di luar pejabat, mereka lebih gemar untuk mengenakan pakaian yang simple dan selesa seperti berseluar jeans dan berkemeja.
Kita seringkali melihat filem dari Barat memasukkan unsur – unsur yang tidak baik seperti kelakuan meminum arak, menghisap rokok, mengamalkan seks bebas, gangsterism, perjudian, menggunakan isyarat lucah, penghinaan terhadap budaya dan agama sesebuah masyarakat dan pelbagai aksi yang pada hakikatnya boleh meracuni penonton yang menonton filem tersebut. Maka tidak hairanlah seandainya masyarakat tempatan terpengaruh dan kesannya berlakunya peningkan sumbang mahram dan peningkatan dalam kelahiran bayi atau anak luar nikah yang bertambah dari tahun ke tahun.
 Pengaruh filem barat bukan sahaja membawa kesan yang besar kepada khalayak di Malaysia. Budaya dari negara jiran pun, iaitu Indonesia juga turut membawa kesan. Dalam sebuah artikel yang dimuatkan dalam majalah MILENA Muslim, dikatakan bahawa sinetron Indonesia menjadi satu fenomena yang tidak terkawal apabila kebanyakannya membawa pengaruh yang bertentangan dengan nilai dan budaya masyarakat di Malaysia. Drama Indonesia yang memang menghiasi layar kaca televisyen di Malaysia telah mendapat sambutan yang baik dari khalayak Malaysia. Pada tahun 2005 dan 2006, sinetron Bawang Merah Bawang Putih telah membawa suatu penerimaan baru apabila sinetron tersebut mendapat tontonan yang tertinggi ketika sinetron tersebut rancak ditayangkan dalam siri Sinetron di TV3. Peratusan penonton yang menonton rancangan ini mencapai 3.5 juta penonton di seluruh negara. Majoriti yang melihat sinetron tersebut ialah golongan remaja, suri rumah dan mereka yang bekerja dalam jabatan kerajaan. (Atak, Feridie Hikmat. 2009. Drama Bersiri ‘Pecah TV’,( http://mylasia.net/isu-semasa/drama-bersiri-pecah-tv/ diakses pada 12 April 2010)
            Jika diteliti dalam perbincangan mengenai medium filem ini, kita harus melihat bagaimana aliran produk budaya tersebut mengalir masuk dalam pasaran tempatan mahupun Asia. Korea, Jepun, China dan Mesir merupakan antara negara yang terbesar dalam mengeksport hasil produk filemnya ke seluruh dunia. Negara – negara ini melihat pasaran yang terbaik dalam menguasai pasaran filem ini ialah pasaran di Asia berikutan jumlah penduduknya yang besar dan padat selain faktor ekonomi yang sangat memberangsangkan. Justeru kita dapat melihat aliran kemasukan produk filem mereka sangat besar ke dalam pasaran Asia terutamanya negara – negara dunia ketiga. Pengaliran produk filem ini secara besar – besaran pada hakikatnya membawa impak negatif terhadap produk filem tempatan. Filem – filem tempatan yang dihasilkan tidak dapat sambutan sekiranya dieksport keluar berikutan kualiti dan standard filem tempatan tidak dapat bersaing atau menyamai dengan kualiti filem luar negara yang saban hari semakin mendapat sambutan dalam kalangan penduduk atau masyarakat tempatan sendiri. Kesannya, penghasilan dan penerbitan filem – filem tempatan kurang memberangsangkan dan sambutan dari masyarakat tempatan tidak menggalakkan sekaligus membawa kepada pengimportan filem – filem luar yang semakin berleluasa dalam pasaran tempatan.Jika perkara ini terus berlaku, maka budaya Barat akan menular dalam masyarakat tempatan. Walaupun budaya positif Barat seperti suka menolong, menghormati dan berintelektual, namun pengaruh negatif lebih besar berbanding kesan atau pengaruh positif seperti yang dibincangkan di atas.


4)    Muzik dan Produk Budaya
Industri ditakrifkan sebagai suatu usaha atau kegiatan pengolahan bahan mentah menjadi barang setengah jadi atau barang jadi yang memiliki nilai tambah untuk mendapatkan keuntungan (Ishak Mad Shah, 2004). Istilah industri kreatif pula diperkenalkan pada awal tahun 1990 - an oleh Partai Buruh di Australia sebagai bentuk baru bagi penciptaan lapangan kerja. Gagasan mengenai industri kreatif ini kemudian dikembangkan lebih lanjut oleh Inggeris sehingga akhirnya Tony Blair membentuk sebuah kumpulan Industri Kreatif Inggeris pada tahun 1997. Industri kreatif merupakan sebuah bahagian yang luas yang meliputi 14 sektor industri termasuk muzik.
Muzik ialah bunyi yang diterima oleh individu dan berbeza bergantung kepada sejarah, lokasi, budaya, dan cita rasa seseorang. Secara amnya, muzik diakui sebagai satu cabang seni dan juga sains yang menggabungkan bunyi - bunyi vokal dan instrumental termasuk bunyi - bunyi semula jadi dari persekitaran atau rekaan dengan satu cara yang dianggap memuaskan mengikut estetika, corak pemikiran, dan emosi manusia yang juga mencerminkan sesuatu budaya tertentu (Zulkiply Yaakob, 2007). Muzik ialah satu perkataan yang telah diwarisi daripada cerita-cerita dongeng zaman purba Yunani diberi nama sebagai muses yang bermaksud semua bentuk seni halus termasuk muzik. Pada hari ini, perkataan muzik membawa maksud seni bunyi-bunyian.Dari segi ekonomi, impak negatif dari globalisasi ekonomi adalah berlakunya perkembangan sistem perdagangan luar negeri yang lebih bebas. Perkembangan ini menyebabkan negara - negara berkembang tidak dapat lagi menggunakan takrif yang tinggi untuk memberikan perlindungan kepada industri yang baru berkembang seperti industri muzik. Perkembangan inilah yang menimbulkan hambatan kepada negara berkembang untuk memajukan sektor industri muzik dengan lebih cepat.
Ekonomi membawa maksud segala ilmu yang berkaitan asas-asas pengeluaran, pembahagian penggunaan barang-barang, dan perkhidmatan serta masalah kemasyarakatan, buruh, dan kewangan serta urusan yang berkaitan dengan harta benda merupakan salah satu cabang besar bagi kesan globalisasi terhadap industri muzik (Greene, 1999). Sumber pendapatan yang boleh diperolehi melalui industri muzik terbahagi kepada dua iaitu industri teras dan industri sokongan. Perbandingan mengenai syarikat dan pertubuhan yang terlibat di dalam industri muzik di antara tahun 1997 sehingga 2004 telah dilakukan dan apa yang boleh dirumuskan adalah bilangan pertubuhan agen, penganjur konsert, penasihat, dan penerbit adalah berkurangan dan hal ini disebabkan oleh faktor globalisasi yang berlaku iaitu berlakunya kegiatan cetak rompak yang berleluasa dan persaingan kemasukan lagu-lagu serta penyanyi dari negara luar seperti Indonesia, Jepun, Korea, dan negara-negara Barat.
Kehadiran penyanyi dari luar dikatakan menjadi punca kemerosotan penjualan album dan menyaksikan penurunan royalti persembahan awam artis tempatan. Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M. Daud Wahid berkata, penyanyi tempatan perlu menerima hakikat bahawa industri muzik tanah air berada dalam keadaan genting ketika ini. Dalam jangka masa panjang, pertumbuhan seperti ini akan melambatkan pertumbuhan ekonomi industri muzik.
Selain itu, stesen radio turut memberikan kesan globalisasi terhadap industri muzik dalam bidang ekonomi. Stesen-stesen radio seperti Hitz, Fly, Hot, dan sebagainya seringkali memutarkan lagu - lagu dari luar dan bukannya tempatan telah menyebabkan penurunan kutipan jualan Video Compact Disc (VCD) dan royalti kerana lagu-lagu luar yang masuk ke negara ini menjadi majoriti dalam industri muzik. Secara tidak langsung, hal ini menjejaskan ekonomi industri muzik. Kesan lain yang turut mempengaruhi ekonomi industri muzik adalah syarikat terpaksa memotong belanjawan untuk program hiburan dalam aktiviti tahunan mereka. Hal ini akan menjadi lebih teruk seandainya syarikat memotong separuh daripada harga asal yang ditetapkan penyanyi untuk menjayakan persembahan mereka. Akibat daripada kemasukan lagu dan penyanyi luar, ekonomi industri muzik negara semakin meruncing gawatnya.
Menurut Edward B. Tylor (1958), budaya merujuk kepada ilmu pengetahuan, keperayaan, kesenian, kesusilaan, undang-undang, dan adat resam. Sementara itu, Bronislaw Malinoswky (1944) mengkelaskan budaya sebagai suatu tindak balas terhadap keperluan manusia. Secara umumnya, budaya merupakan cara atau gaya hidup sesebuah masyarakat mahupun bangsa yang meliputi semua aspek dan aktiviti harian manusia termasuk sejarah, kesusasteraan, institusi politik, muzik, lukisan, falsafah, dan sebagainya.
Tanpa kita sedari, kini telah berlakunya penjajahan minda dan fizikal yang telah banyak memecahkan sistem totem dan taboo sesebuah bangsa dan masyarakat. Individu yang terjajah sedikit demi sedikit akan mengikut segala aspek kehidupan bangsa yang menjajah. Kepercayaan-kepercayaan yang menjadi anutan sesebuah bangsa telah dihapuskan oleh si penjajah dengan mencanangkan keburukan dan kehodohan sesebuah sistem milik masyarakat yang terjajah. Seni muzik popular bukan sahaja hanya berkait dengan muzik namun membawa bersama pemikiran, ideologi, budaya, kostum, dan gaya pertuturan.
Himpunan budaya baru ini tidak mustahil akan menelan akar budaya atau identiti bangsa yang pernah terjajah. Dengan wujudnya propaganda melalui media massa, globalisasi dalam kesenian dari Barat akan menelan segala budaya dan akar pemikiran bangsa lain. Falsafah seni muzik popular hanya menekankan keseronokan sementara dan ia penuh dengan tipu muslihat tersembunyi, sekaligus menjadikan ia senjata yang paling berkesan untuk mempengaruhi sikap dan tindak tanduk remaja.
Kesan globalisasi dari sudut teknologi kepada industri muzik tanah air merupakan kesan yang paling besar. Teknologi maklumat atau information technology (IT) merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Hal ini adalah kerana komputer dan perisian digunakan untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat, dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.
Globalisasi yang berlaku terhadap dimensi teknologi maklumat telah meninggalkan impak yang begitu negatif terhadap industri muzik tanah air. Isu yang hangat diperkatakan sekarang ialah isu cetak rompak. Cetak rompak dalam konteks industri muzik merujuk kepada menyalin lagu tanpa kebenaran daripada pihak pengeluar. Hanya kerana adanya teknologi yang canggih, maka kesan globalisasi telah mendorong kepada penularan kegiatan cetak rompak. Hal ini berlaku kerana teknologi membolehkan kualiti barangan tiruan yang dihasilkan hampir sama dengan produk yang asal.
Pengarah Urusan EMI (Malaysia) Sdn. Bhd., Darren Choby berkata, perkara seumpama itu tidak mustahil berlaku kerana telah wujud banyak petanda menunjukkan industri muzik sedang menuju ke arah kehancuran akibat cetak rompak. Pendapatan industri muzik tanah air telah menjunam daripada RM80 juta pada tahun 1996 kepada RM20 juta pada tahun lalu (Ahmad Yusuf, 2001). Selain itu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Industri Rakaman (RIM), hampir 60 peratus atau RM300 juta daripada keseluruhan nilai industri muzik negara yang dianggarkan berjumlah RM500 juta pada tahun lalu dikuasai oleh lanun cetak rompak (Statistik cetak rompak Disember 2007).
Kesan globalisasi ini bukan sahaja menjurus kepada perkara yang negatif. Kesan globalisasi ini turut menjadi penyumbang kepada perkembangan industri muzik Malaysia iaitu evolusi muzik. Evolusi merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa latin yang bererti membuka gulungan atau membuka lampiran. Kemudian bahasa itu telah diserapkan menjadi bahasa Inggeris iaitu evolution yang membawa maksud perkembangan secara bertahap. Adalah diakui melalui perkembangan terkini seni muzik tanah air, muzik Indie atau muzik Underground mula dan sedang bertapak, melangkah sedikit demi sedikit memeriahkan suasana dunia industri hiburan tanah air yang sedang melalui zaman muramnya. Globalisasi yang berlaku kepada dunia telah membuka mata industri muzik Malaysia. Muzik Underground sebenarnya telah wujud di negara ini sejak awal tahun 80-an lagi. Kita memerlukan industri yang sihat dan berkembang positif dan rata-rata kumpulan - kumpulan Indie dilihat mampu berperanan dan memberikan saingan kepada dunia muzik mainstream yang semakin tidak bermaya pada hari ini.
Kehadiran mereka juga mampu memberi impak yang positif kepada peminat dan pendengar muzik. Walaupun muzik mereka berentak keras dan progresif iramanya, senikata lagu-lagu mereka jika dilihat dengan penuh teliti membawa maksud kehidupan dan kemanusiaan. Sebagai contoh, lagu-lagu seperti Sejuta Wajah, Rumah Kita, Menjilat Matahari, Anak Adam, serta banyak lagi dilihat mempunyai keseimbangan antara irama dan senikata lagu. Globalisasi yang berlaku memberikan perubahan pada industri muzik dan kita perlu menerimanya.
Menurut Fadzilah Kamsah (2006), kita perlu berubah apabila menerima perubahan yang positif. Selain itu evolusi industri muzik berkembang dengan majunya apabila pelbagai ciri keselamatan dibuat bagi mengelakkan berlakunya penjualan karya muzik secara haram. Penjualan karya muzik secara digital hasil ledakan teknologi maklumat yang melalui proses globalisasi ini telah mendapat sambutan. Menurut Sany Monteiro iaitu Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia, dalam tempoh lima tahun ini, jualan karya muzik menerusi digital meningkat dengan begitu pantas. Semua karya muzik yang dihasilkan dilindungi oleh badan bernaung di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. RIM juga mempunyai alat khas yang direka untuk mengesan sekaligus menutup laman web yang cuba menjual karya muzik secara haram. Hal ini secara tidak langsung akan meningkatkan pasaran ekonomi Malaysia dalam industri muzik tanah air.
Apa yang ingin disimpulkan bagi perkembangan industri muzik Malaysia ialah industri muzik yang telah melalui proses globalisasi mampu meningkatkan industri ekonomi dan teknologi dalam perkembangan industri muzik tanah air bagi jangka masa pendek mahupun panjang yang memberikan seribu satu faedah kepada masyarakat sendiri. Secara keseluruhannya apa yang dapat diolah ialah globalisasi merupakan salah satu fenomena yang semakin hebat melanda dunia. Impak yang ditinggalkannya memberikan kesan kepada semua sektor perindustrian. Hal ini turut melibatkan industri muzik Malaysia. Era globalisasi ini memudahkan urusan manusia namun tetap membawa masalah kepada sesebuah negara, bangsa, masyarakat, mahupun individu. Tiupan globalisasi telah melahirkan kebudayaan dunia maya (cyber culture) serta memberi kesan pada ekonomi industri muzik.
Seharusnya globalisasi dipandang melalui dua sudut iaitu positif dan negatif. Seandainya globalisasi membawa impak yang negatif, sewajarnya kerajaan atau badan swasta mencari jalan bagi menangani masalah tersebut agar industri muzik dapat dibangunkan tanpa ada perspektif yang buruk dan lemah.
Perkembangan industri muzik sebenarnya merupakan satu titik permulaan yang baik bagi komposer, artis, dan pasaran industri tanah air. Bagi sesiapa yang terlibat dengan industri muzik pula seharusnya tidak mudah melatah dalam menghadapi arus globalsasi agar kualiti muzik dapat dipelihara serta mampu menaikkan nama industri muzik ke seluruh dunia. Kita seharusnya yakin bahawa industri muzik Malaysia akan kembali mengulangi zaman kegemilangan seperti yang dikecapi syarikat rakaman sekitar tahun 90-an menerusi globalisasi ini memandangkan hiburan sudah menjadi budaya, ekonomi, dan teknologi masyarakat kita.

5)    Periklanan dan Produk Budaya
Pengaruh gobalisasi juga boleh dilihat dari sudut periklanan berikutan periklanan merupakan salah satu medium media yang mengalami perubahan demi perubahan mengikut gelombang semasa. Iklan merupakan satu salah satu produk budaya yang dikomoditikan. Definisi bagi iklan ialah satu maklumat berbayar, di mana maklumat mengenai sesuatu produk, barangan atau idea komunikasi secara tidak formal oleh pengeluar barangan tersebut. Dalam erti kata lain, iklan adalah merujuk kepada kaedah mesej berbayar yang menafsirkan satu bentuk simbol kepada sifat keinginan untuk membuat pembelian terhadap barangan tersebut (Fowles, Jib.1995).
            Dalam dunia tanpa sempadan atau globalisasi, kebanyakkan produk berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Sebagaimana kita ketahui, iklan digunakan untuk mempromosikan produk, oleh itu berlakulah import eksport iklan selaras dengan komoditi yang dipasarkan. Pengaliran produk budaya seperti iklan dari satu negara ke satu negara lain akan mempengaruhi budaya seterusnya berlaku penyerapan atau asimilasi.
            Import dan eksport komoditi budaya merupakan satu senario yang berlaku di era globalisasi. Hal ini termasuklah iklan yang merupakan medium mempromosikan sesuatu produk. Kebanyakkan iklan di Malaysia menayangkan iklan dari luar negara seperti Jepun, India, Indonesia dan pelbagai negara lagi. Menurut Datuk Seri Dr. Rais Yatim, 80 peratus iklan yang ditayangkan di Malaysia merupakan iklan luar negara. Antara produk yang menggunakan iklan dari luar negara ialah syampu Rejoice, Sunsilk, sabun Shokubutsu, iklan krim pencerah Fair & Lovely dan sebagainya. Hal ini menunjukkan industri periklanan di Malaysia banyak bergantung kepada iklan di luar negara.
            Selain itu, pemasaran produk budaya diperingkat global juga menampilkan model - model iklan yang mencerminkan wajah global. Model iklan wajah Barat sering menjadi pilihan pengiklan dalam mempromosikan produk mereka. Menurut mantan Menteri Penerangan Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir semasa beliau masih lagi menteri pada tahun 2006, iklan dari luar negara yang menggunakan wajah Barat serta penggunaan wajah "Pan Asian" di televisyen tempatan semakin rancak diperkatakan kebelakangan ini. Hal ini menunjukkan Malaysia banyak mengimport produk budaya seperti iklan dari luar negara.
            Dalam usaha mengekalkan produk budaya tempatan, kerajaan telah memperkenalkan konsep “Made In Malaysia” (MIM) yang diwujudkan oleh Kementerian Penerangan dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) pada pertengahan tahun 1970 -an bertujuan menghalang kemerosotan nilai budaya dalam kandungan iklan - iklan, menghalang peruntukan besar pengiklanan yang dibelanjakan di luar negara dan membantu kerajaan dalam membangunkan industri filem tempatan.
            Menurut presiden FDAM Dr. Mahadi J. Murat, Malaysia pernah menjadi hub penerbitan filem iklan serantau dan mutu iklannya diakui sebagai antara yang terbaik di Asia ketika MIM mula diperkenalkan. Namun sekarang, status MIM tidak dikuatkuasakan dan tidak pula dimansuhkan. Akibatnya banyak filem iklan yang ditayangkan di stesen televisyen dan pawagam tempatan dibuat di luar negara. Sejak 2000, MIM tidak lagi dikuatkuasakan seperti tahun – tahun sebelumnya. Kesannya, menurut beliau, peruntukan perbelanjaan penerbitan iklan tempatan sebanyak RM200 juta setahun bagi 1999 dan 2000 telah menurun dengan ketara kepada RM15 juta setahun pada 2005.
            Selain lambakan iklan luar negara dalam industri penyiaran tempatan, sikap tidak menentu kerajaan dalam melaksanakan dasar atau syarat iklan buatan Malaysia (Made in Malaysia), turut merugikan negara dari sudut ekonomi. Negara akan terus kehilangan kira - kira RM200 juta setahun dan menjejaskan masa depan 20,000 karyawan filem khususnya dalam penerbitan filem iklan. Senario ini menunjukkan, industri periklanan Malaysia lebih banyak mengimport produk budaya dari luar berbanding menghasilkannya sendiri seterusnya dieksport.
            Lambakan iklan asing di negara memberi impak negatif terhadap penonton dan budaya tempatan. Unsur - unsur negatif seperti wanita berpakaian seksi, minuman keras, seks, tafsiran yang salah (misalnya mentakrifkan kecantikan dengan meletakkan ciri - ciri tertentu seperti kulit yang cerah) memberi kesan terhadap tingkah laku dan pemikiran penonton terutamanya remaja dan kanak - kanak. Unsur - unsur sebegini mendorong mereka terpengaruh dengan perkara yang disajikan.
            Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Unit Penyelidikan Periklanan University Stractchclyde,  Scotland , yang bertujuan untuk melihat  implikasi yang dihadapi oleh golongan remaja bawah umur terhadap iklan minuman keras di kaca televisyen. Hasil kajian, mereka mendapati kanak-kanak di bawah umur  18 tahun  minum disebabkan mereka mudah mengenali jenama serta imej minuman beralkohol di kaca televisyen dan lebih menumpukan perhatian terhadap iklan minuman keras yang ditayangkan di televisyen. Selain itu, mereka terdorong untuk mengambil minuman keras disebabkan lebih menghargai perwatakan serta aksi yang ditonjolkan dalam iklan berbanding dengan pengguna dalam iklan tersebut. Mereka gemarkan akan watak dan gaya yang dibawa oleh model iklan dan ingin meniru perbuatan mereka.
            Selain itu, kebanyakkan iklan yang disiarkan juga telah melanggar undang - undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Hasil kajian yang dilakukan oleh pelajar periklanan Universiti Islam Malaysia (UIA) dengan kerjasama Kesatuan Pengguna - Pengguna Malaysia (FOMCA) pada tahun 1992 mendapati 13 peratus pengiklan telah melanggar kod periklanan televisyen dan radio bagi Kementerian Penerangan, manakala 20 peratus  iklan di media cetak telah melanggar kod etika Lembaga Piawaian Periklanan Malaysia (Advertising Standard Authority of Malaysia atau ASAM).
             Penyiaran iklan luar negara yang memaparkan budaya asing memberi kesan terhadap nilai budaya tempatan seterusnya menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat kita. Hasil daripada pengaruh budaya asing dalam iklan yang disiarkan sama ada di televisyen, billboard, majalah dan sebagainya, kita dapat melihat berlakunya asimilasi perkara yang berunsur negatif dan juga positif. Dari segi negatifnya, masyarakat kita tanpa segan silu memakai pakaian yang menjolok mata, minum arak, pergaulan bebas, seks bebas dan sebagainya. Sebagai contoh, sebuah iklan shampu di televisyen yang menunjukkan sepasang kekasih dalam adegan menghairahkan. Si wanita sedang membelai rambut lelaki dan menjumpai kelemumor pada kepala lelaki tersebut. Lalu si wanita memberi reaksi kurang menyenangkan. Iklan ini menunjukkan unsur seksual dan akan merangsang pemikiran penonton terhadap adegan yang ditunjukkan. Hal ini sedikit sebanyak menyumbang kepada gejala seks bebas yang berleluasa pada masa ini.

            Namun dari sudut positif, terdapat juga iklan asing yang menyelitkan unsur  sejagat seperti sifat kekeluargaan, amanah, bertanggungjawab, kasih sayang dan sebagainya. Misalnya dalam sebuah iklan sabun, yang memaparkan seorang kanak - kanak membantu seorang warga tua membawa buah - buahan dengan bajunya dan menyebabkan bajunya kotor. Walaupun iklan ini ialah iklan luar negara, namun mesej yang disampaikan dalam iklan tersebut berjaya mengingatkan kembali nilai murni yang semakin terhakis dan sikap prihatin anak muda kepada golongan yang kurang berupaya.

6)    Penerbitan dan Produk Budaya.
Dunia penerbitan juga tidak lari daripada mengalami perubahan akibat desakan dan tamparan yang diterima daripada arus globalisasi. Bermula dari pencetakan surat khabar hinggalah ke majalah – majalah picisan yang membawa penyebaran pelbagai maklumat dan informasi dari sudut keperluan hinggalah ke kehendak manusia yang merangkumi politik, ekonomi, budaya, agama, hiburan dan perniagaan. Secara amnya, maklumat – maklumat berkaitan dunia dikawal oleh negara – negara yang besar dan berpengaruh seperti Amerika Syarikat. Negara tersebut mengawal setiap aliran masuk dan keluar maklumat – maklumat berkaitan dunia yang merangkumi ketenteraan, ekonomi, politik dunia dan keadaan semasa dunia.
Antara agensi atau sumber berita yang sering kita perolehi ialah CNN, BBC, dan  Al – Jazeera. Agensi ini merupakan sumber utama bagi negara – negara yang tidak mempunyai sumber atau wakil di seluruh tempat dunia dalam melaporkan kejadian yang berlaku dalam setiap hari. Hal ini menunjukkan Barat dan sekutunya mencuba untuk menjaga dan mengawal pengaliran masuk dan keluar setiap berita sama ada disalurkan melalui televisyen, radio mahupun surat khabar melaporkan perkara yang tidak memberi impak negatif kepada negara tersebut. Media merupakan kuasa besar yang perlu dikawal pengaliran oleh setiap kerajaan dalam sesebuah negara. Meskipun Malaysia telah mencapai kemerdekaan yang berusia 53 tahun kini, rakyatnya masih dijajah. Dijajah dalam era globalisasi ini tidak hanya terbatas kepada penjajahan melalui kuasa ketenteraan dan teknologi dunia ketenteraan namun penjajahan secara halus iaitu melalui pemikiran manusia. Contoh yang paling mudah untuk dilihat apabila setiap televisyen tempatan memuatkan berita bahagian sukan dengan pasukan – pasukan bola sepak Barat seperti pasukan bola sepak Chelsea, Manchester United, Real Madrid, Barcelona, Liverpool dan Inter Milan. Manakala pasukan bola sepak tempatan agak kurang memberangsangkan tarikannya berbanding pasukan bola sepak Barat.
Selain penerbitan surat khabar, penerbitan majalah juga seringkali memuatkan artis – artis Barat sebagai ikon remaja atau personaliti yang menjadi kegilaan remaja pada masa kini. Lambakan majalah yang tidak bermaruah yang membawa kepada kehidupan sosial yang bebas dijual di dalam pasaran tempatan tanpa halangan daripada pihak tertentu meskipun menyalahi peraturan jual beli dan penerbitan majalah di Malaysia. Majalah Palyboy umpamanya merupakan majalah yang berorientasikan penampilan lelaki dan wanita dalam bentuk dan penampilan yang menghairahkan, seksi, dan menjolok mata. Penerbitan dan pembawaan masuk majalah seperti ini akan menjejaskan dan meruntuhkan akhlak remaja dalam dunia yang penuh cabaran ini.
Secara kesimpulannya, gelombang globalisasi membawa implikasi dan impak yang boleh membawa kepada pembaharuan, kemajuan dan kebaikan. Namun, harus diingat bahawa impak dari sudut negatif lebih menyerlah dan melebihi daripada kebaikan tersebut. Dalam menangani permasalahan ini, setiap pihak bermula dari institusi keluarga, individu, masyarakat, kerajaan, pihak – pihak bukan kerajaan dan persatuan harus mengembleng usaha bersama dalam mengharungi dan meminimumkan impak negatif sebaliknya memaksimumkan impak positif dalam gelombang globalisasi ini. Kerajaan umpamanya harus mengawal kemasukan produk media yang boleh mencetuskan fenomena tidak sihat terutamanya kepada golongan remaja yang secara lahiriahnya mempunyai semangat ingin tahu dalam usia tersebut. Peraturan, undang – undang dan sekatan kerajaan harus diteliti dan diperbaiki dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian dan peredaran zaman agar gejala tidak sihat berlaku melalui aliran produk media luar.
Selain itu, perkara yang lebih penting ialah kekuatan individu terbabit dalam menempuh dunia tanpa sempadan ini dan tidak menerima pengaruh dan budaya yang tidak sihat berikutan arus pemodenan teknologi dan komunikasi yang bergerak aktif dan pantas setiap hari.Setiap individu harus memantapkan dirinya dengan bekalan ilmu pengetahuan tidak kiralah dalam akademik, agama dan adat resam serta budaya agar mereka tidak tersungkur dan menyembah ke dalam budaya yang tidak membawa sebarang faedah dan kebaikan dalam diri mereka. Justeru, persoalan mengenai struktur industi budaya pada masa kini pada hakikatnya dipengaruhi oleh individu dan masyarakat kerana merekalah yang menjadi pengguna (khalayak) kepada media tersebut. Pengguna media kini bukanlah pengguna media yang bersifat pasif, namun pengguna media kini ialah mereka yang bersifat aktif. Justeru, individu dan masyarakat seharusnya berfikiran rasional dan terbuka dalam menerima sesuatu pengaruh atau budaya dan mereka sendiri yang akan menilai sama ada untuk menerima atau menolak.





SUMBER RUJUKAN:
Mohammad Saleeh, Saifullizan Yahya, Shamsudin dan S.M Zakir, 2007. Budaya Serumpun          Mendepani Globalisasi. Kuala Lumpur: PENA.
Wan Abdul Kadir, 1993. Budaya Kebangsaan dan Kemodenan. Masfami: petaling Jaya dan         Kota Bharu
Wan Abdul Kadir, 1992. Warisan Tradisi Budaya Melayu. Masfami: Kota Bharu dan          Petaling            Jaya.
Ishak Mad Shah. (2004). Psikologi industri dan organisasi (jilid kedua). Malaysia: UTM Press.

Kesan Globalisasi terhadap Industri Muzik Malaysia Vol. 1. Diakses pada 13 April, 2010, dari             http://artisticarts.blogspot.com/2010/04/kesan-globalisasi-terhadap-        industri.html

Kesan Globalisasi terhadap Industri Muzik Malaysia Vol. 2. Diakses pada 13 April, 2010, dari             http://artisticarts.blogspot.com/2010/04/kesan-globalisasi-terhadap-        industri_07.html

Kesan Globalisasi terhadap Industri Muzik Malaysia Vol. 3. Diakses pada 13 April, 2010, dari             http://artisticarts.blogspot.com/2010/04/kesan-globalisasi-terhadap-        industri_9566.html

Malinowski, B. (1944). A scientific theory of culture. California: University of North Carolina Pr.


0 Response to "MEDIA NOTE: Struktur Pasaran Industri Budaya Yang Harus Mengambil Kira Eksport Media Produk Budaya Peringkat Global."

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Salam pembuka kata dari Rakan Semalaya untuk orang malaya.

Assalamualaikum dan salam semalaya.

Terima kasih diucapkan kepada sahabat kerana sudi menjenguk saya di laman blog yang baharu sahaja diaktifkan. Sebenarnya,saya sudah lama untuk mempunyai sekurang-kurangnya laman sosial sendiri seperti blog.Sebelum ini saya sudahpun mempunyai sebuah blog iaitu shahrilsebayu@blogspot.com namun tidak dapat di update kerana beberapa musabab. Jadi, terpaksalah membuat blog baru dengan nama yang berbeza iaitu rakan semalaya.

Tentu anda bertanya, mengapa pula rakan semalaya dipilih? macam tak cun je.Bagi saya rakan semalaya ini macam unik je.Entahlah tetiba sahaja saya terfikir untuk meletakkan nama rakan semalaya.

Namun, yang paling penting saya mempunyai laman blog sendiri. Bebas untuk menulis namun tertakluk kepada peraturan alam iaitu Akta Multimedia dan Hak Cipta. Yelah kan tak fasal-fasal masuk berita atau surat khabar mengenai kesalahan yang tak patut kita lakukan seperti meniru artikel atau menyebar fitnah dan mengadu domba. Tak baikkan macam itu.

Sekarang ini, macam-macam blog yang diwujudkan.Setiap blog mempunyai agenda settingnya sendiri. Maknaya mereka menulis di dalam blog untuk tujuan tertentu sama ada berbentuk positif mahupun negatif.

Dalam membaca hasil penulisan seseorang, kita harus mempunyai ilmu atau guidelines dalam kita menerima sesuatu idea atau pendapat seseorang penulis itu kerana kita tidak tahu sama ada sumber tersebut benar atau fitnah semata - mata apatah lagi sengaja direka-reka. Dalam dunia cyber kini, manusia boleh melakukan apa sahaja yang mereka rasa perlu termasuklah menjatuhkan seseorang atau sesebuah pihak dalam mereka untuk mencapai matlamat mereka.

Jika dibincang hal ini, banyak yang perlu dirungkaikan. Kita mempunyai Perlembagaan yang kita sanjung atau sebagai garis panduan. Jadi, kita harus beretika dan berfikiran rasional dalam melahirkan atau mengeluarkan sesebuah pendapat.
Kita akan bincang hal ini kemudian..


Salam Semalaya.